Isnin, 4 April 2011

SEMANGAT GOTONG ROYONG DAN TANGGUNG JAWAB BERSAMA AKTA STRATA TITLE 663

SEMANGAT GOTONG ROYONG DAN AKTA 663

Gotong-royong sudah menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu dan semua warga malaysia. Mereka bergotong-royong untuk kenduri kahwin, membersih  surau apabila bulan Ramadhan menjelang tiba atau bila ada  aktiviti masyarakat . Rasa tanggung jawab bahawa mereka adalah sebahagian dari masyarakat dan setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing merupakan di antara aset penting masyarakat Melayu Cina dan India sebagai rakyat Malaysia .

Walau bagaimanapun kadang-kala di kawasan-kawasan bandar atau pinggir-pinggir bandar, amalan ini telah pupus. Bukanlah perlu sangat ahli-ahli masyarakat itu turun bersama-sama bermandi peluh, untuk bertanya khabar di antara satu sama lain pun susah.

Tetapi dengan berkuatkuasanya Akta 663 tahun lepas yang menetapkan bahawa pengurusan sebarang rumah bertingkat sama ada pangsapuri atau kondominium akan akhirnya dilakukan oleh penduduknya sendiri, semangat amalan gotong-royong ini menjadi amat penting.

Dengan akta tersebut, setiap blok atau kawasan perumahan  perlu menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Badan Pengurusan Bersama atau Joint Mananagement Board (JMB). JMB akan dianggotai oleh wakil-wakil penduduk dan seorang wakil dari pemaju. Selepas hak milik strata dikeluarkan maka JMB ini akan menjadi Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) yang dikendalikan 100% oleh penduduk.

MC ini bertanggung jawab ke atas pengurusan kawasan kediaman itu. Sama ada untuk memastikan sampah-sampah di sapu, bil-bil elektrik dilunaskan, gaji penyelia  dibayar, , insuran bangunan diambil dan banyak lagi perkara kecil atau besar.

Tetapi perkara ini yang selalunya pembeli-pembeli kediaman bertingkat terlepas pandang. Pada mereka, mereka hanya membeli unit-unit kediaman sahaja. Mereka langsung tidak menyangka bahawa akhirnya bumbung yang bocor, Tangga  yang rosak, lampu taman yang tidak berfungsi, tangka air yang berkarat atau saluran najis dan longkang  yang tersumbat adalah juga tanggung jawab mereka bukan tanggung jawab majlis perbandaran atau kerajaan.

Penduduk bukan hanya bertanggung jawab ke atas unit mereka tetapi seluruh blok atau bangunan yang mereka duduki. Mungkin bukan mereka sebagai individu yang perlu menguruskannya tetapi ini adalah tugas JMB dan MC yang ditubuhkan. JMB dan MC ini pula berhak untuk memungut yuran penyenggaraan dari penduduk dan boleh meminta Pejabat Tanah Dan Galian menyita hartabenda mereka yang gagal membayar.

Mungkin jarang ada permintaan untuk menyita tetapi masalah akan timbul jika terdapat penduduk yang tidak berdisiplin dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk-penduduk lain. Lebih teruk lagi jika tidak ada penduduk yang bersedia untuk menganggotai JMB atau MC. Maka tidak ada siapa akan menguruskan kediaman itu. Menurut akta, Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner Of Building (COB), selalunya Dato’ Bandaraya atau Yang Dipertua Majlis akan melantik ejen untuk menguruskan bangunan itu tetapi lazimnya harganya akan menjadi lebih mahal dari jika penduduk melantik ejen mereka sendiri.

Maka itu sebabnya semangat gotong-royong ini perlu ada. Walaupun mereka tidak bergotong royong membersihkan blok-blok mereka tetapi semangat tanggung jawab di sebalik konsep gotong royong ini akan menentukan sama ada penduduk akan tinggal di dalam persekitaran yang sempurna.

Saya amat berharap sekiranya pemilik pemilik yang berkemahiran  yang tinggal di kediaman bertingkat seperti Rumah Pangsa dapat memainkan peranan yang lebih untuk memastikan kediaman mereka diuruskan dengan baik. Mungkin bukan untuk tujuan politik semata-mata tetapi sebagai satu perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan. Memimpin JMB dan MC sebab mereka sudah biasa berpersatuan.

di petik dari sumber direct free kick.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan